Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi
tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih
mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga,
namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.
Kepada wanitalah lelaki
memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang
bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak
lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok
menghasilkan bayang-bayang yang lurus.
Luruskanlah
wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa
oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan
mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan
kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan
menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah
suisnya.
Akal setipis rambutnya,
tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut
sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka
akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati
mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri
negara atau ‘women gladiator’. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan
bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih
sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan
lelaki-lelaki waja: negarawan, karyawan, jutawan dan “wan-wan” yang lain. Tidak
akan lahir ‘superman’ tanpa ‘superwoman’.
Wanita yang lupa hakikat
kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan
akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula
membengkokkan.
Lebih ramai lelaki
yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki.
Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah
akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka
sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan
‘secretary’, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan
bapa akan kehilangan puteri.
Bila wanita derhaka dunia
lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan
limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah
kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri
sendiri dahulu kepada-Nya.
Jinakkan diri dengan Allah,
nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap
isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidina Ali.
0 comments :
Post a Comment